Daftar Tetamu Kehormat

Thursday, November 4, 2010

Kau Tak Pernah Jauh... Part 1

KAU TAK PERNAH JAUH - PART 1





Dicapainya handphone lalu mendail nombor yang memang disimpan dalam handphone nya itu. Tiada sahutan dari penerima seperti mana yang diharapkan. Gelisah di hati hanya Allah yang tahu. Aku mesti beritahu dia, mesti tanya dia. Sekali lagi nombor itu cuba dihubungi, panggilan itu dijawab setelah lama menanti.

Suara seorang wanita yang mengarahkannya supaya menanti bertukar kepada suara garau milik insan yang amat dikenali. “Sayang, Sorry, I’m busy right now. I’ll call you later. Promise.” Panggilan ditamatkan serta-merta tanpa menanti bicara yang mengundang kekecewaan yang bertakhta di hati. Hampir menitis keluar airmata membasahi pipinya. Disekanya sebaik saja ia mula untuk berderai keluar. Alina masih lagi pegun duduk di birai katil. Termenung dengan kepalanya yang buntu. Apa daya lagi yang harus dilakukan. Menantikan insan tersebut menghubunginya, entahkan bila zamannya.

Dia tahu jejaka yang setahun lebih tua daripadanya itu sedang sibuk pada masa ini. Hampir seminggu panggilan yang sentiasa bertamu pada waktu lunch tidak lagi menjalankan rutin. Bukannya dia manja untuk dihubungi setiap hari, cuma mahukan insan itu berada pada ketika diperlukan, itu saja.

Mata kecil itu menatap wajah milik tangan yang sedang mengusap tangannya. Mungkin ada sesuatu yang sedang berlegar di kepala Alina sehinggakan dia tidak menyedari wajahnya menjadi tamu mata kecil itu. Sehinggakan suasana persekitaran tidak diendahkan.

“Abang, kalau orang lain pinang sayang, macam mane?” mata Alina dapat menangkap riak terkejut pada wajah milik mata kecil yang cuba disembunyikan. Mata kecil itu bertentang dengan matanya.

Azri hanya tersenyum melihat Alina keresahan menanti jawapan. Sengaja dia membiarkan Alina bergelut dengan kebarangkalian jawapan. “Sayang berhak untuk menentukan kebahagiaan sayang. Terima atau tidak, keputusan tetap di tangan sayang, walau apa jalan yang abang lakukan. Apa jua keputusan sayang, abang terima dengan redha.”

Seraut wajah tidak berpuas hati terbentang di depan mata Azri. Alina kecewa dengan jawapan yang diberikan tidak menepati spesifikasi. Secetek inikah kasih sayang Azri terhadapnya? “Kalau sayang kahwin dengan orang lain dan bukan dengan abang?”

“Abang akan doakan sayang bahagia sekeluarga hingga ke akhir hayat.” Senyuman masih lagi terukir di bibir Azri walaupun matanya menangkap kehampaan pada wajah Alina. “Setidak-tidaknya abang dah bebas dari seksa..”

“Seksa?” Alina terkedu apabila cuping telinga di sebalik tudung yang melitupi kepalanya itu menangkap kata yang aneh di dalam frasa tersebut. Adakah selama ini aku menyeksanya? Adakah aku tidak membalas kasih sayang yang infiniti nilainya dari dia? Mungkin semua yang dilakukan belum mencukupi lagi. Atau mungkin penantian selama lima tahun tidak lagi dihargai.

Senyuman di bibir masih lagi mekar tanpa menghiraukan wajah Alina yang sedang keliru “Iyer la.. Seksa menanggung rindu. Biar bakal suami sayang yang ganti abang tanggung seksa tu nanti.” Spontan Azri menjelir lidah mengejek manja kepada Alina, "Weekkk!!!."

“Amboi, tak sayang mulut ka?.” Alina marah tapi tersenyum dengan gelagat Azri. “Tak sayang pada sayang lagi la tu, sampai nak bagi sayang pada orang lain.”

Azri tersengih, gembira melihat Alina tidak lagi bermuram. “Ok, sorry, tadi abang jawab main-main. Ni abang serius.. Abang sayangkan sayang dan kasih sayang ini tidak akan pudar selamanya. Abang mohon sayang supaya tolak semua pinangan selain abang.”

Terukir senyuman manis di bibir Alina. Bahagia rasanya mendengar kata-kata bagaikan janji itu. “Sayang dah tak perlu tanya pasal tu lagi. Sampai bila-bila pun jawapan tetap sama. Jangan terima pinangan orang lain tau.”

Tiba-tiba, semua fantasi yang mengimbas kembali memori silam tadi hilang setelah dikejutkan dengan bunyi ketukan dan pintu terkuak. Matanya mengekor gerak langkah mama yang menghampirinya perlahan. Dia dapat merasai rambutnya dibelai perlahan. Sungguh mendamaikan ketika itu membuatkan dia terlupa masalah yang sedang dihadapinya.

“Mama dah setuju untuk terima rombongan meminang tu.” Kata-kata itu ditutur dengan berhati-hati. Bimbang puterinya yang keras kepala itu memberontak. “Abah dan mama dah berbincang dan kami sepakat dengan keputusan itu. Tunggu Alina je yang berikan jawapan lambat sangat.”

Terjegil mata Alina mendengar butir kata itu. “Mama…”

Mama menarik tangan Alina dengan lembut lalu disarungkan cincin emas belah rotan pada jari manis. “Ni cincin bertanya, diorang yang bagi masa merisik.” Manik-manik kecil jernih yang dibendung sebentar tadi menitis membasahi cincin belah rotan yang sedang ditatapnya. Alina memaut tubuh mama yang turut duduk di katil. Manik-manik yang sudah pun berjuraian kini menghujani bahu mama.

Dalam esakan itu terdengar bicara halus dari bibir Alina. “Mama… Azri…”

“Dengar Alina, mama tak mahu lihat anak mama menjadi bahan ejekan dan fitnah orang. Mama tahu berat untuk Alina menerima keputusan kami. Tapi ini untuk masa depan Alina. Kami takkan salahkan Alina jika apa-apa yang buruk berlaku kemudian nanti.” Mama mengusap lembut belakang puteri yang berusia akhir dua puluhan itu.

Alina berusaha untuk meredakan tangisannya. Pilu yang teramat sangat di hatinya membuatkan tangisan itu tidak dapat dihentikan secara tiba-tiba. “Baiklah mama, Alina terima keputusan itu. Tapi, bersyarat, Alina takkan bertemu dengan bakal suami Alina sehingga pada hari perkahwinan.” suara serak menggetarkan gegendang telinga setelah tangisan reda. Mama memeluk tubuh puteri yang menjadi harapan keluarga itu. Pelukan amat erat tanda kasih sayang yang tak akan putus.



Bersambung...

0 comments: