Daftar Tetamu Kehormat

Tuesday, February 15, 2011

seloka Maulidur Rasul

Assalamu'alaikum umat pilihan,
BismilLah diucap tanda pembukaan,
Kehadrat Allah dirafa'kan segala pujian,
Selawat dan salam kepada Junjungan.

Juga kepada Sahabat sekelian,
Termasuk pengikutnya hingga akhir zaman,
Pembawa sinar purnama bulan,
Laksana mentari terang sinaran.

12 R.Awal menjelma lagi,
Hari Keputeraan Nabi (SAW) yang diingati,
Oleh muslimin dan muslimat sejati,
Seluruh dunia hidup diberkati.

Mengingatinya memang suatu yang mesti,
Agar iman subur dihati,
Taqwa bertambah setiap hari,
Amal dan ibadat sebagai bukti.

Segala acara disusun teliti,
Demi memuliakan kelahiran Nabi,
Perarakan dimulakan dipagi hari,
Pertandingan sepanduk turut diADILi.

Segak berbaris kontenjen semua,
Selawat dilaungkan bersama-sama,
Rakyat bangga meraikannya,
Tanda negara Islam agamanya.

Islam menjadi agama rasmi,
Termaktub demikan sudah dimaklumi,
Rukun Negara menjadi bukti,
Rukun pertama punya perinci.

Maulidur Rasul diserikan lagi,
Dengan "Marhaban dan juga Barzanji",
Pertandingan diadakan disemua negeri,
Setiap tahun mesti diulangi.

Berarak pagi memanglah ramai,
Ceramah agama juga disampai,
Muslimin dikumpul dikerah dicanai,
Mendengar amanat pemimpin yang pandai.

Amanat disampai tersirat tujuan,
Rakyat disuruh ucap kesyukuran,
Kepada kerajaan yang banyak berkorban,
Tanda bersyukur kepada Tuhan.

Bersyukur tanda keteguhan iman,
Itulah tema hari perayaan,
Aktiviti agama konon diadakan,
Menunjukkan kerajaan punya perjuangan.

Barzanji Marhaban dipertandingkan,
Yang datang tak penuhpun dewan,
Hadiah tawaranpun cukup-cukup makan,
Pertandingan "KARAOKE" jauh lumayan.

Begitulah terjadi setiap kali,
Acara agama kurang diminati,
Tak kira dewasa, remaja apa lagi,
Kalau tak ada "itu-itunya" tiada yang pergi.

Kalau nak datangpun ada tujuan,
Bukan kerana Barzanji dan Marhaban,
Tapi kerana ada sambilan,
Jumpa "cewek" atur perkenalan.

Acara agama yang dianjurkan,
Tujuan menjana kemantapan iman,
Tapi lain pula kejadian,
Remaja mengatur berbagai perjumpaan.

Ada yang berjanji nak tengok wayang,
Atau berkumpul dipusat permainan,
Yang dahsyat berjanji nak jumpa dihutan,
Macam-macam tempatlah menjadi sasaran.

Tengok wayang pergi berduaan,
Di dalam panggung menjadi setan,
Buat maksiat tak silu segan,
Ibu bapa ditipu kontan.

Awal pagi dah siap berdandan,
Tiang talipon monyet bergayutan,
Ibu bapa tanya kemana tujuan,
Mereka jawab kelas tambahan.

Di VideoGames pusat permainan,
Atau CyberCafe dan pusat hiburan,
Inilah tempat menjadi sasaran,
Remaja kita buat perjumpaan.

Konon ke sekolah tempat dituju,
Pakaian lengkap dan bawa buku,
Rupanya mereka pergi ke situ,
Habis tertipu ibu bapa dan cikgu.

Berjumpa disitu bukanlah selalu,
Hanya pada masa yang tertentu,
Rupanya tujuan nak dapat "BENDA"tu!,
Bungkus ais kerim tempat menipu.

Pakaian mereka janganlah tanya,
Takkan dipakai kalau tak JENAMA,
Ikat kepala dah mesti punya,
Ditanya kenapa ? ROCK! katanya.

Dulu 'Ubat Batuk' remaja kita mabuk,
Kini "SYABU"(?) yang mereka sibuk,
Sudah ketagih sanggup bertumbuk,
Dapatkan duit sampai ke lubuk.

Bila remaja dah jadi mangsa,
Ibu bapa nak tegur dah tak kuasa,
Sekolah digantung tak boleh pereksa,
Anak dan ibu bapa jadi terseksa.

Kerana nak dapatkan 'bendaalah'tu,
Mereka akan terus menipu,
Duit ibu bapa habis disapu,
Merompak mencuri tak rasa malu.

Akhir sekali remaja di tangkap,
Mula-mula dimasukkan kedalam lokap,
Ibu bapa malu tak boleh cakap,
Di Pusat Serenti akhirnya menginap.

Remaja perempuan pulak satu hal,
Mencari jantan memang dia handal,
Tak ubah seperti perempuan (maaf) sundal,
Bujang dan suami orang semua dibedal.

Mereka ini bukannya bebal,
Pelajaran O.K. kalau disoal,
Ibu bapa, wang sampai bawah bantal,
Jangan tanya tentang meterial.

Kalaulah ditanya apa yang dicari,
Katanya "KEBEBASAN" di dalam diri,
Apa maksudnya kitapun tak reti,
Sampai sanggup menjual diri (?).

Jangankan ke hotel, ke hutanpun pergi,
Demi kepuasan nafsu berahi,
Hilanglah sudah maruah diri,
Bila dah ngandung nak bunuh diri.

Maka banyaklah yang kita dengar,
Perihal remaja yang kurang ajar,
Nak ambil SPM tak mau belajar,
Walaupun yuran ibu bapa dah bayar.

Akhirnya gagal menjadi penganggur,
Segala kesalahan tak boleh ditegur,
Hidup mereka sudah terlanjur,
Cita-cita sudah habis berkubur.

Anak derhaka semakin ramai,
Di dalam rumah tak jumpa damai,
Keluarga dimusuhi hilanglah permai,
Kawan-kawan dipuja terlebih pandai.

Kenapakah terjadi semua ini ?,
Semasa Maulidur Rasul diperingati!,
Program agama tak pernah berhenti,
Dibanyak tempat termasuklah TV.

Sepanjang tahun silih berganti,
Ma'al Hijrah program yang mesti,
Maulidur Rasul Diperingati,
Majlis Tilawah apatah lagi.

Tak cukupkah semua ini,
Mengasuh rakyat hidup berbakti,
Menanam iman takqwa yang tinggi,
Kenapa semua ini mesti terjadi ?

Apakah salah ibu yang mengandung,
Lahirkan anak membawa mendung,
Menjalani hidup bagai sikudung,
Segala derita tidak tertanggung.

Ataupun bapa yang cari rezeki,
Setiap hari tiada berhenti,
Tak kira siang dan malam hari,
Demi kebahagiaan hendak dicari.

Ataupun pendidik guru dan cikgu,
Gagal mendidik tingkah dan laku,
Makan gaji buta tak tau malu,
Tugas mendidik tidak berlaku.

Siapakah yang patut kita salahkan,
Ibu bapa, guru atau kerajaan?
Setelah berusaha beri pendidikan,
Remaja terus menjadi setan.

Kalau kita nak ambil kira,
Yang dewasa apa kurangnya,
Bilis dan JAWS sama sahaja,
Yang pangkat tinggi lagilah gila.

Patut yang tua tu taulah taubat,
Berhentilah segera buat maksiat,
Kalau komen merekalah yang hebat,
Asyik remaja yang mereka hambat.

Padahal merekalah punca dan sebab,
Jadi ikutan anak biadab,
Kalau mereka tak pukul rebab,
Masa kan anak bergelek arab.

Kalau nak kira semuanya sama,
Masing-masing dengan sahamnya,
Yang benar semua hanya cakapnya,
Yang dibikin pula lain bentuknya.

Walaupun demikian akan halnya,
Kerajaanlah yang tinggi nilai sahamnya,
Menyebabkan rakyat hidup terinaya,
Sedangkan kerajaan pentingkan DIRInya.

Kerajaan tak buat yang merugikan,
Apa dibuat semua menguntungkan,
Tapi keuntungan yang difikirkan,
Untuk individu yang ditentukan.

Dalam memastikan ada keuntungan,
Kerugian rakyat diketepikan,
Rakyat terus digula-gulakan,
Program yang dirancang hanya meLALAIkan.

Tak kira apapun program yang dibuat,
Penuh dengan tipu muslihat,
Program keagamaan juga terlibat,
Kita semua diajak bersyubahat.

Bila pembangkang timbulkan persoalan,
Kenapa dibanyakkan pusat hiburan,
Kelak rakyat akan disesatkan,
Mereka kata, itulah ujian.

Sebenarnya bukan semata ujian,
Tapi keuntungan menjadi kajian,
Tak kira rakyat menjadi kejian,
Kerajaan lahap makan sajian.

Akhirnya rakyat menjadi keliru,
Terutama remaja merasa celaru,
Di sekolah demikian pengajaran guru,
Di luar dah ada tempat dituju.

Ibu bapa di rumah demikian juga,
Nasihat diberi maruah dijaga,
Di luar semua yang mencuriga,
Anak-anak terdedah dimulut naga.

Kerajaan bersikap umpama dajal,
Syurga dan neraka dua-dua dijual,
Program agama disusun jadual,
Program setan terlebih handal.

Akibatnya negara menerima bala,
Telah menjelma berbagai gejala,
Kita memikirkan pening kepala,
Kerajaan senang duduk bersila.

Sampai bilakah ini harus berlaku,
Semuanya hanya siku menyiku,
Kita harap buatlah sesuatu,
Kerajaan terus memenuhkan saku.

Marilah kita terus berfikir,
Bagaimana negara harus ditadbir,
Kerajaan zalim harus disingkir,
Aturlah agenda di belakang tabir.

Setakat ini sahaja seloka,
Semoga kita selalu jumpa,
Salah dan silap maaf dipinta,
Terlanjur bicara demikian juga.

Wassalam!

0 comments: