Loading...

Daftar Tetamu Kehormat

Tuesday, December 7, 2010

“Alamak, Telekung Tiada! Bagaimana Hendak Solat?”




Zulaikha adalah seorang Pengawas dan juga ahli BADAR sekolahnya.  Beliau akhir-akhir ini berasa rungsing dengan keadaan para pelajar muslimah yang bising di dalam surau.  Keadaan bising itu mengganggu kekhusyukan dan ketenangan pelajar-pelajar muslimah lain yang sedang bersolat. 

Mengikut peraturan sekolah, para pelajar dikehendaki untuk bersolat fardhu Zuhur secara berjemaah sebelum dibenarkan pulang.  Kebisingan bukan berpunca dari pelajar-pelajar yang uzur, tidak boleh solat.  Kerana mereka yang uzur telah ditempatkan ke kelas khas untuk sesi tadzkirah sementara menunggu pelajar-pelajar yang bersolat jemaah fardhu Zuhur selesai.  Masalah bising di surau adalah berpunca dari kekurangan telekung.  Zaleha telah mengadu hal ini kepada beberapa orang ustadzah, tetapi belum ada tindakan yang dilakukan.

Zulaikha membuat keputusan untuk mengadukan hal ini kepada Ketua Guru Penasihat BADAR, iaitu Ustadz Faisal.  Beliau mengajak Raudhah dan Aishah menemaninya.  Mereka bertiga telah membuat temujanji dengan Ustadz Faisal selepas waktu persekolahan untuk membincangkan hal itu.

“Assalamu’alaikum Ustadz” sapa Zulaikha, Raudhah dan Aishah kepada Ustadz Faisal.

“Wa’alaikumussalam warahmatullah” jawab Ustadz Faisal.

“Ustadz, kami pelajar-pelajar muslimah ada masalah.”  Zulaikha memulakan bicara.

“Masalah apa tu?  Besar ke? Kecil?”  Tanya Ustadz Faisal.

“Tak tahulah ustadz samada ia masalah besar atau kecil.  Tapi mungkin pada ustadz masalah ni kecillah kot…”  respon Zulaikha.

“OK, takpe.  Awak ceritakan pada saya.  Saya dengar…”  balas Ustadz Faisal sambil membetulkan posisi duduknya di atas kerusi dan menumpukan perhatian pada apa yang bakal dikatakan oleh anak muridnya.

“Begini.  Surau bising waktu solat fardhu Zuhur berjemaah.  Sebab ramai yang tidak bawa telekung, jadi terpaksa tunggu giliran untuk bersolat.  Sambil menunggu tu, ada kalangan pelajar yang berbual-bual, malah ketawa pun ada…”  Zaleha memberikan penerangan.

“Kami nak solat pun tak khusyuk…!”  Raudhah mencelah, marah dengan keadaan yang terpaksa mereka hadapi.

“Betul tu Ustadz!”  Aishah mengiyakan apa yang dikatakan Raudhah dan Zulaikha.

Ustadz Faisal yang tadinya serius mendengar penjelasan Zulaikha, tiba-tiba menguntum senyum dan riak wajah beliau seakan berlalunya kelam mendung berganti cerah.

“Oh sebab tu aje.  Sebab telekung tak cukup ye?  Bising ye?”  Ustadz Faisal tenang.

Zulaikha, Raudhah dan Aishah kehairanan.  Mereka berpandangan sesama mereka.  Kening kanan Aishah terangkat selama 3 saat, sebijik lagaknya macam seorang artis wanita tempatan yang terkenal dengan suara tingginya, sedang memikirkan sesuatu.  Mereka terkejut.  Seakan masalah itu di sisi Ustadz Faisal hanyalah habuk di atas meja yang mudah untuk dilap dan dihilangkan.

“Saya nak tanya awak bertiga.  Awak sekarang ni pakai baju tutup aurat tak?”  tanya Ustadz Faisal.

“Eh, err…tentulah Ustadz.”  Jawab Raudhah 95% yakin sambil melihat atas bawah pakaiannya dan pakaian rakan-rakannya.

“Confirm awak tutup aurat!  Malah bukan awak bertiga sahaja.  Malah kesemua pelajar-pelajar di sekolah ini menutup aurat dengan sempurna.  Kita yang bersekolah agama ni untung sebab sudah dididik bertudung labuh, berstokin, pakaian tak nipis dan saya lihat awak bertiga ni siap berbutang di pergelangan tangan lagi hah!  Tahniah, comel dah!”  ujar Ustadz Faisal.

Zulaikha, Raudhah dan Aishah tersenyum.  Mereka bangga kerana diberikan pujian dalam hal berpakaian menutup aurat.  Dalam masa yang sama terbit rasa syukur di dalam hati mereka kerana selama ini mereka bersekolah di sekolah menengah agama dan mendapat tarbiyyah yang menyeluruh dari para guru dan pentadbiran sekolah.

“Boleh tak awak pakai baju yang sama ni pergi solat, tak payah cari telekung?”  tanya Ustadz Faisal pula.
“Err…bolehlah Ustadz.  Tapi……..” Zulaikha cuba menyambung, tetapi dipotong percakapannya itu oleh Ustadz Faisal.

“Saya tahu…awak tak biasa kan?”  Ustadz Faisal dengan yakin meneka.

“Yelah ustadz.  Mana dibuat orang…”  Raudhah mengerut dahi sambil memuncung panjang bibirnya.  

“ISLAM ni mudah.  Yang disuruh agama hanyalah menutup aurat.  Memang bagus jika dapat memakai pakaian berwarna putih seperti telekung itu.  Tapi, jangan pula disusah-susahkan hal yang mudah ini.  Sampaikan surau jadi bising kerana terpaksa tunggu giliran ingin pakai telekung.”  Ustadz Faisal memberikan responnya.

“Jika awak ke luar negara, mana ada orang pakai telekung ni.  Yang pakai telekung ni orang sekitar sini sahaja.  Saya pernah berombongan ke luar negara.  Wanita-wanita di sana semuanya memandang aneh kepada ahli rombongan wanita yang memakai serba putih telekung ketika mendirikan solat.  Sedangkan wanita-wanita di sana, hanya memakai pakaian harian mereka dan bertudung.  Sudah tentu menutup aurat.”  Sambung Ustadz Faisal lagi.

“Tapi, kalau diorang datang sini, tentu diorang pulak akan dipandang pelik, kan Ustadz.  Sebab solat pakai baju biasa”  Aishah mencelah sambil tersengih.

“Ha’ah kan…”  Zulaikha dan Raudhah mengiyakan. 

Mereka tertawa kecil sebentar.  Ustadz Faisal sekadar tersenyum, antara ketawa dan tidak.

“Beginilah…saya tahu memang sukar untuk kita melakukan sesuatu yang di luar dari kebiasaan kita.  Tapi, selagi ia dalam lingkungan syara’, tiada masalah untuk kita melakukannya.  Malah, ini boleh memudahkan kamu semua.  Memang mula-mula tu akan rasa pelik.  Tapi, apabila masyarakat dah mula faham bahawa ISLAM itu mudah, nah mereka akan mula sedar.  Saya cukup rasa sedih, sebilangan masyarakat kadang-kadang apabila berhenti di Hentian Lebuhraya terpaksa menangguhkan solat fardhu mereka hanya kerana telekung tiada, telekung yang disediakan berbau busuk atau kotor dan sebagainya.  Sedangkan solat mesti disegerakan.”  Jelas Ustadz Faisal.

“Sebab itu kita kena selalu berpakaian menutup aurat.  Sebilangan wanita yang memerlukan telekung ini sebenarnya mereka sedar pakaian mereka memang belum menutup aurat dengan sempurna.  Jadi takut untuk mengerjakan solat fardhu, walaupun mereka bertudung.  Jika mereka berpakaian menutup aurat dengan sempurna seperti yang awak bertiga pakai ini, nescaya mereka akan berasa yakin untuk mengerjakan solat dengan pakaian harian itu.”  Ustadz Faisal meneruskan bicara.

“Awak tengok para muslimin.  Mereka dengan baju dan seluar itu pergi sekolah, pergi kerja, naik kenderaan, dan pakaian itu juga mereka mengerjakan solat.  Bukankah mudah?  Tak perlu cari pakaian istimewa seperti wanita terpaksa mencari telekung.  Wanita pun boleh buat macam tu.  Dengan pakaian yang sama boleh kalian mengerjakan solat.  Dengan syarat:  Tutup aurat dengan sempurna seperti di dalam solat setiap ketika.  Dan itulah sebenarnya tuntutan agama.”  Tambahnya lagi.

“Alhamdulillah Ustadz, kami faham.  Tapi, macam mana ye kami nak mulakan?  Seganlah…takut pun ada”  Tanya Zulaikha.

“OK, awak pergi jumpa Ustadzah Nabilah atau Ustadzah Sofea, ceritakan apa yang kita bincangkan tadi.  Saya faham untuk awak mulakan, tentulah awak gementar dan takut penerimaan kawan-kawan dan adik-adik awak.  Awak kumpulkan 5 atau 10 orang pelajar Tingkatan 5 bersama Ustadzah Nabilah atau Ustadzah Sofea, awak mulakan esok.  Esok merupakan ice-breaking.  Mudah-mudahan apabila mereka dah nampak awak sebagai kakak-kakak senior buat, ditambah pula dengan Ustadzah pun buat juga, nescaya mereka akan dapat terima.  Dan insyaALLAH, lusa atau tulat awak khabarkan kepada semua pelajar muslimah agar takperlu tunggu telekung.  Ambil wudhu’, dengan pakaian sekolah tu awak semua angkat takbir serentak selepas Imam mengangkat takbiratulihram.  Amacam, OK?”  ujar Ustadz Faisal, disusuli helaan nafas dan senyuman memberikan harapan.

Zulaikha, Raudhah dan Aishah tersenyum dengan ilmu baru ini.  Sebenarnya ia bukan ilmu baru, cuma perbuatan baru yang bakal mengaplikasikan apa yang mereka pernah dengar, iaitu:  ISLAM itu mudah.

Keesokannya, Zulaikha, Raudhah, Aishah dan beberapa orang pelajar Tingkatan 5 merealisasikan apa yang dicadangkan oleh Ustadz Faisal.  Mereka menjadi yakin apabila Ustadzah Nabilah dan Ustadzah Sofea turut bersama mereka dalam sesi ice-breaking itu.  Ya, mereka sedang memecahkan paradigm orang Melayu Malaysia yang mengatakan solat mesti bertelekung.  Bukan mudah.  Tapi, Alhamdulillah mereka telah Berjaya.

Beberapa hari dan minggu selepas itu masalah bising sudah dapat dikurangkan apabila hampir semua pelajar muslimah dari Tingkatan 1 hinggalah Tingkatan 5, mereka bersolat serentak dengan jemaah lelaki.  Tak perlu cari telekung.  Tak perlu tunggu telekung.  Mudah!



Credit to :
Shahmuzir Nordzahir
28 Oktober 2010
www.muzir.wordpress.com   




p.s: Islam itu mudah kn =D kdg2..kita yg bg susah kan...he3
 

0 comments: